Rabu, 16 April 2014

Kami Sayang Ayah

Aku telah dilahirkan hampir 5 dekat yang lalu.  Pelbagai onak dan duri telah kuharungi sejak dari zaman kanak-kanak lagi.  Ayahku seorang askar, dan aku bangga dengan pekerjaan ayah. Ayah pernah bertugas di Conggo Afrika,  sekitar tahun 1961.  Ketika aku dilahirkan ayah tiada di sisi ibu.    Ibu terpaksa harungi kesakitan seorang diri di kampung kerana ayah masih lagi di sana. 
Semasa aku berumur 7 tahun, ayah telah ditugaskan ke Sarawak.  Ibu  tidak ikut ayah bertugas di Sarawak.  Tinggallah kami semua bersama ibu.  Ibulah yang mengatur segalanya terhadap kami lima  beradik.  Ibu tidak pernah ke sekolah, tapi ibu boleh menjaga kami dengan baik.  Kami sering kesempitan wang, kerana mungkin agaknya ayah terlewat mengirimkan wang kepada ibu.  Ayah! pernah seekor ayam telah masuk dalam rumah  kerana hendak bertelur.  Kami semua mendiamkan diri memerhatikan ayam itu dengan harapan jika ia bertelur, bolehlah kami berlaukkan telur goreng. Zaman dulu bukan mudah untuk dapat telur ayam seperti zaman sekarang.  Tapi ayam pun pandai, ia seolah-olah tahu yang ada orang sedang memerhatikannya.  Kami semua kecewa selepas melihat ayam itu keluar..
 Ayah, kami begitu gembira bila ayah telah pulang dari Sarawak. Tapi rupanya ayah pulang ada cerita lain. Ayah  beritahu ibu yang ayah telah berkahwin lagi.  Ibu begitu sedih sekali dengar berita itu. Begitu luluh perasaan ibu bila ayah telah berkahwin lagi. Suatu petang, semasa aku pulang dari sekolah, api begitu marak tinggi menjulang. Rupa-rupanya ibu telah membakar semua uniform askar ayah di luar rumah. Semua jiran-jiran terperanjat dan kehairanan melihat sikap ibu. Ibu telah membuat keputusan untuk balik ke kampung untuk menenangkan perasaannya. Akibatnya kami semua juga terpaksa ikut ibu balik ke kampung dan bersekolah di sana.
Suatu hari ayah balik ke kampung.  Kami semua gembira dengan kepulangan ayah. Esoknya kami semua dibangunkan lebih awal untuk mandi.  Agaknya ayah hendak bawa kami berjalan-jalan ke Teluk Intan.  Ibu tidak pula bersiap-siap seperti kami tetapi sibuk di dapur menyiapkan sarapan pagi.  Tiba-tiba ayah datang kepadaku dan berkata “Nur,nanti kalau orang tanya mana ibu, cakap ibu di belakang tau!  Aku diam sahaja.  Masa itu aku baru berumur 9 tahun dan kakak yang tua pula 10 tahun.  Semasa kami hendak keluar rumah,  ibuku memeluk kami semua sambil menangis dan mengatakan kami akan tinggal bersama ayah.  Apabila aku melihat ibu menangis aku juga menangis apabila mengetahui ibu tidak akan ikut kami semua.  Adikku yang paling kecil ketika itu baru berusia 9 bulan.  Ayah kendong adik kami yang kecil itu sambil membawa beg baju kami semua.  Sejak itu kami semua tidak pernah berjumpa Ibu dan bermulalah kehidupan  kami  bersama ibu tiri.
 Ayah!  pelbagai peristiwa pahit dan manis yang telah kami harungi ketika hidup bersama ayah.  Tapi kami semua masih menyayangi ayah kerana ayah sanggup menjaga kami semua.  Ayah! Kami tahu ayah selalu mempertahankan kami  jika ibu tiri mengadu atas kenakalan kami.  Itulah yang menyebabkan bertambah lagi kasih sayang kami terhadap ayah.
Ayah! pernah barang-barang rumah kita telah dilelong oleh pihak bank kerana ayah tak bayar wang pinjaman. Bila aku pulang dari kerja, beranda telah kosong. TV, peti ais, kipas, meja makan, sofa dan lain-lain lagi sudah tiada. Nasib baik di bilik tidur dan dapur tidak kena lelong. Kami tahu bukan ayah tidak boleh bayar, tapi duit syarikat telah dibawa lari oleh kawan ayah. Sejak itu kita semua hidup susah. Walaupun aku bekerja tapi tidak dapat membantu, kerana ketika itu aku bekerja sebagai kerani sambilan sahaja. Air selalu sahaja kena potong kerana sewa rumah tidak bayar. Terpaksalah kami mengambil air di dewan bersebelahan dengan rumah untuk minum dan mandi.
Ayah pernah berkata kepada kami adik beradik, walau susah macam manapunsekalipun, ayah akan tetap menjaga semua anak-anak ayah. Sampai sekarang aku tidak pernah lupa tentang itu ayah!...aku hormat, aku bangga pada ayah...Terima kasih ayah!
ari yang paling aku ingat ketika ayah telah menghantarku ke pejabat.,  sebelum aku melangkah keluar dari kereta  ayah berkata  “Nur, ayah hendak pergi ke Merapoh, Pahang hari ini.  Ayah wasiatkan Nur jaga adik-adik tau”.  Aku tidak mahu pandang cermin depan untuk melihat wajah ayah, tapi aku diam sahaja dan terus keluar dari kereta, kerana  aku sudah janji dengan kawan-kawan untuk pergi ke Port Dickson kerana esok cuti am, Hari Muharam.  Tidak sedap hati pula  bila ayah berkata demikian. Aku  tidak jadi ikut kawan-kawanku. Mereka  semua memperlekehkan aku.  Ayah! malam itu aku tidur tempat yang ayah selalu tidur.  Tapi entah kenapa aku berbuat demikian......
Keesokan harinya aku dikejutkan panggilan telefon dari Balai Polis Kuala Lipis.  Panggilan itulah yang telah meragut kebahagian dan ketenanganku selama ini.  Aku bagaikan terpempan dan tidak percaya bila pemanggil itu mengatakan ayahku telah meninggal dunia.  Aku menyuruh pemanggil itu memanggil adik lelakiku yang berusia 12 tahun yang  ikut ayah ke sana,  tetapi ia mengatakan rombongan ayahku  telah pergi ke ke Balai Polis Kuala Lipis.  Menggigil tanganku menyelak buku talipon untuk mencari nombor talipon Balai Polis Kuala  Lipis sambil  berdoa    “ Ya Allah, ya Tuhanku, kasihanilah hambamu ini kerana kami tidak ada tempat lain untuk bergantung selain dari ayahku, Kau perkenankan doa hambamu ini ya Allah.”    Aku terus hubungi Balai Polis Kuala Lipis tapi mereka mengatakan tidak ada menerima sebarang laporan kematian.  Hatiku kembali lega.  Aku menarik nafas panjang dan terus hubungi kakakku. Kakak juga tidak percaya berita itu. Kemudian aku terima panggilan dari kakak semula.  Suaranya sebak dan mengesahkan berita itu.  Air mataku tidak tertampung lagi dan jatuh berderai membasahi pipi.  Perutku terasa lapar, tapi aku tidak dapat menelan sebarang makanan walaupun seteguk air kerana sedari pagi aku belum bersarapan.  Kakak dan jiran kami telah pergi ke Kuala Lipis untuk menguruskan pengambilan mayat.  
 Sampai sahaja mayat ayah di rumah, mereka membaringkan ayah di ruang tamu.  Baju ayah diseliputi tanah kerana semasa ayah meninggal, ayah berada di dalam hutan di Merapoh. Aku tatap wajah ayah lama-lama, kemudian aku masuk ke dalam bilik sambil menangis sepuas-puasnya.  Ayah! Aku tidak sanggup untuk menggunting baju di badan ayah yang penuh dengan tanah.  Biarlah kakak dengan Faizah yang mengguntingnya Aku tidak sampai hati untuk melakukannya. Ayah! tanpamu kurasa hidup ini tidak bererti.  Di mana lagi tempat aku mengadu nasib.  Tiada lagi kegembiraan di rumah ini tanpa ayah.  Aku memang rapat dengan ayah, hinggakan masalah teman lelaki pun aku cerita kepadanya.  Bengkak mata kami adik beradik semasa menghantar ayah ke  tempat persemadian kerana terlalu banyak air mata yang keluar.  Ayah! kaulah orang yang aku amat sanjung dan  aku sayang.... Al-Fatihah buatmu ayah,  bersemadilah ayah dengan tenang.  Aku sentiasa mendoakan agar ayah sentiasa digolongkan dalam orang-orang yang beriman. Amin......